Tuesday 31 May 2011

Petempatan : Pengertian Dan Konsep

Pusat Kajian Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mendefinisikan petempatan  sebagai suatu kawasan tempat berlangsungnya aktiviti manusia secara berorganisasi. Menurut Dixiaodis, petempatan ialah suatu yang meliputi pusat dengan tempat kediaman, penghuni dan kawasan sekitar di mana penghuninya berinteraksi dalam tempoh masa yang agak panjang, jika tidak berkekalan.

Petempatan berubah dari masa ke semasa dan ia berkembang dari sebuah kediaman kecil di suatu kawasan terpencil hingga menjadi sebuah megalopolis. Ia mempunyai satu sistem tersendiri dari segi taburan, susunan, aturan, organisasi ruang, fungsi dan juga kegiatan ekonomi. Ia tidak hanya berlandaskan kepada sebuah negara sahaja malah dunia sebagai satu sistem yang amat kompleks di mana ia boleh dilihat dalam skala terkecil iaitu sebuah bilik di sebuah unit kediaman dengan satu penghuninya dan berkembang lalu bertukar menjadi kampung, pekan, bandar, daerah, negeri, negara dan dunia akhirnya.
Petempatan merupakan satu kombinasi yang bersepadu dengan pelbagai unsur seperti manusia fizikal, manusia ekonomi dan juga manusia sosial. Ia juga meliputi segala proses aktiviti manusia seperti tinggal di sesuatu tempat, bekerja, belajar, mendapatkan perkhidmatan kesihatan, budaya atau berekreasi di samping struktur fizikal sistem yang membantu kehidupan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan petempatan ialah kemudahan teknologi, persekitaran, kecenderungan dan minat pengkaji serta tren di kalangan bijak pandai. Kajian petempatan merupakan salah satu daripada cabang Geografi Manusia di mana ia bersaling kait dengan Geografi Ekonomi ( pengurusan sumber ), Geografi Politik ( unit politik dan pentadbiran ), Geografi Penduduk ( taburan dan kepadatan ), Geografi Sosial ( interaksi ) serta aspek perancangan ( corak taburannya ).

Saturday 28 May 2011

PENGERTIAN TRANSPIRASI

            Transpirasi merupakan satu peristiwa di mana keluarnya wap air dari tubuh tumbuh-tumbuhan. Pada tumbuhan , peristiwa ini biasanya berkaitan dengan kehilangan air lewat stomata , kutikula dan juga lentisel.
          Transpirasi memberikan manfaat iaitu ia membantu penyerapan mineral dari tanah dan menghilangkan panas pada permukaan daun. Menurut Tibbits ( 1979 ) , penyerapan kalsium dan dan boron sangat dipengaruhi oleh kadar laju transpirasi. Apabila laju transpirasi rendah maka terjadinya defisiensi. Sebaliknya jika laju transpirasi tinggi maka terjadinya peningkatan kadar serapan mineral. Secara umumnya , penyerapan mineral dilakukan secara bersama dengan penyerapan air sehinggalah transpirasi tidak langsung membantu pengangkutan air ke seluruh tumbuhan. 

             Transpirasi adalah proses evaporasi atau pemeluwapan air dari tumbuhan termasuk gerakan air melalui seluruh kesatuan tanah-tumbuhan-atmosfera. Faktor-faktor yang mempengaruhi kadar transpirasi adalah :
  1. cahaya
  2. suhu
  3. defisit tekanan wap air
  4. ketersediaan air
       Transpirasi membawa banyak pengertian dan adakalnya amat sukar untuk difahami.  Untuk maklumat lanjut , sila layari http://ms.wikipedia.org/wiki/transpirasi 

PENIPISAN LAPISAN OZON

              Lapisan ozon adalah suatu lapisan gas yang terbentuk di atmosfera kira-kira 20 hingga 25 km dari permukaan bumi. Lapisan ozon berfungsi sebagai :
  1. melindungi bumi daripada sinaran ultra ungu
  2. menyerap dan membalikkan sinaran ultra ungu yang berlebihan ke angkasa
              Akibat daripada penipisan lapisan ozon , sinaran ultra ungu yang berlebihan akan memudaratkan kehidupan di bumi. Punca-punca utama berlakunya penipisan lapisan ozon adalah :
  1. pembebasan klorofluorokarbon atau juga dikenali sebagai CFC melalui gas penyejuk dalam peti sejuk dan penyaman udara dan juga melalui bahan semburan aerosol dalam penyembur racun serangga
  2. penambahan kandungan gas metana akibat penggunaan baja kimia yang berterusan
  3. pembebasan gas hidrogen dan nitrogen oksida akibat daripada letupan bom nuklear dan juga ujian senjata nuklear
  4. pembebasan gas nitrogen dioksida oleh kapal terbang supersonik
               Klorofluorokarbon ( CFC ) terdiri daripada klorin , fluorin dan karbon. Apabila CFC dibebaskan ke atmosfera , molekul klorin akan bertindak balas dengan ozon lalu menguraikan ozon dan membebaskan oksigen. Proses ini akan mengakibatkan lapisan ozon dinipiskan. Penipisan lapisan ozon membolehkan sinaran ultra ungu sampai terus ke permukaan bumi tanpa sebarang halangan. Kesan-kesan penipisan lapisan ozon ialah :
  1. menyebabkan penyakit kanser kulit , katarak mata , , sakit mata dan melemahkan sistem imunisasi badan manusia
  2. memusnahkan sel dan mikro organisma dalam tumbuhan dan juga haiwan
  3. merosakkan ekosistem lautan iaitu dengan menghalang plankton melakukan proses fotosintesis dan mengurangkan hasil hidupan laut
  4. merosakkan dan mengurangkan hasil tanaman
  5. peningkatan suhu , pencairan glasier dan banjir di kawasan rendah
             Ozon merupakan sebatian yang terdiri daripada tiga atom oksigen bagi setiap molekul. Ozon dijumpai oleh Christian Friedrich Schonbein pada tahun 1840. Secara semulajadi , ozon terbentuk melalui tindak balas cahaya ultra lembayung dengan atmosfera bumi lalu membentuk satu lapisan ozon pada ketinggian 50 km. 

      Jika anda masih tidak begitu pasti dan faham tentang lapisan ozon , anda bolehlah membuat rujukan dengan lebih lanjut lagi di http://ms.wikipedia.org/wiki/Lapisan ozon                                                                                                                                                                                                                          

UJI KEFAHAMAN ANDA DENGAN POP KUIZ 1 ....

            Wahai para pelajar sekalian , cuba uji tahap kefahaman anda tanpa merujuk kepada mana-mana sumber. Kemudian cuba bandingkan sama ada jawapan anda itu tepat atau tidak. Kali ini topiknya adalah Pengaruh Manusia Terhadap Alam Sekitar .  Selamat maju jaya saya ucapkan.

Soalan-soalannya  :
  1. Nyatakan 3 kegiatan manusia yang boleh menyebabkan berlakunya jerebu ?
  2. Berikan 3 kesan jerebu terhadap manusia.
  3. Apakah gas-gas yang terlepas ke udara dan membentuk hujan asid ?
  4. Nyatakan 3 kesan hujan asid terhadap alam sekitar.
  5. Apakah fungsi lapisan ozon ?
  6. Nyatakan 2 kesan terhadap manusia jika menerima sinaran ultra ungu yang berlebihan.
  7. Apakah itu pulau haba ?
  8. Nyatakan 3 ciri bandar yang menyebabkannya menyerap haba.
  9. Nyatakan 4 jenis gas rumah hijau.
  10. Apakah kegiatan manusia yang boleh meningkatkan kandungan karbon dioksida di atmosfera ?
  11. Senaraikan 3 kesan peningkatan suhu Bumi.
  12. Nyatakan masalah utama akibat kemarau.

APAKAH ITU HUJAN ASID?

            Hujan asid merupakan fenomena di mana hujan yang turun mengandungi kandungan asid yang lemah dengan nilai pHnya kurang daripada 5.6. Hujan asid berlaku apabila udara di sesebuah kawasan tercemar dengan teruk terutamanya di kawasan perindustrian. Akibat daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum oleh kenderaan , stesen jana kuasa terma serta kilang , gas-gas seperti sulfur dioksida , karbon dioksida dan nitrogen oksida telah dibebaskan ke atmosfera.

              Gas-gas yang terbentuk ini akan bertindak balas dengan wap air dan membentuk asid lemah. Wap-wap air yang berasid lemah ini akan bertukar menjadi titisan-titisan air yang akhirnya membentuk hujan dan turun semula ke permukaan Bumi sebagai hujan asid.
               Hujan asid ini akan memberikan kesan seperti  :
  1. memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan tanaman
  2. menghakis ukiran bersejarah di bangunan lama
  3. menyebabkan kepupusan hidupan air
  4. menjejaskan kualiti air
  5. mengancam kesihatan manusia seperti sakit dada , sakit buah pinggang dan penyakit Alzheimer

JEREBU ... APAKAH PERANAN KITA ?

       Jerebu berlaku apabila terdapatnya banyak debu , abu , asap , habuk dan bahan pencemar lain yang terapung atau terampai di atmosfera berhampiran dengan Bumi. Jerebu sering berlaku di kawasan bandar dan perindustrian kerana kawasan tersebut mengeluarkan bahan pencemar yang berlebihan seperti gas karbon monoksida dan sulfur dioksida ke atmosfera.

          Jerebu berpunca daripada pembakaran jerami padi , pembakaran terbuka , pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan kilang , pembakaran bahan api fosil serta pembakaran hutan. Negara kita telah mengalami keadaan jerebu yang teruk pada tahun 1990 . 1994 dan 1997 akibat daripada pembakaran hutan di negara jiran. Jerebu biasanya berlaku apabila hujan tidak turun dalam jangka waktu yang agak lama.

           Jerebu memberikan kesan buruk terhadap manusia seperti :
  1. mengurangkan jarak penglihatan sehingga kurang daripada 1 km kerana bahan pencemar telah membiaskan pancaran cahaya matahari dan juga memendekkan jarak penglihatan
  2. menjejaskan kesihatan manusia seperti :
  • kesukaran bernafas
  • penyakit asma
  • sakit mata ( mata terasa pedih dan berair )
  • radang paru-paru
  • sakit dada
  • kulit merengsa dan terasa gatal 
     Jerebu  ditentukan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara ( IPU ) yang merupakan salah satu kaedah untuk kita mengetahui tahap teruknya jerebu. IPU melibatkan proses pengukuran kuantiti zarah atau partikel halus merbahaya seperti karbon monoksida , sulfur dioksida , nitrogen dioksida dan ozon. Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut  : 

                               NILAI IPU                         KUALITI UDARA
                                   0 - 50                                    Baik
                                 51 - 100                                 Sederhana
                               101 - 200                                 Tidak Sihat
                               201 - 300                                Sangat Tidak Sihat
                               301 - 400                                Berbahaya
                               401 - 500                                Sangat Berbahaya
                               Lebih 501                                 Darurat 

          Cuba kita renungkan sejenak , adakah kita juga bertindak penyumbang kepada keadaan jerebu ini ?  Marilah kita bersama-sama memelihara alam sekitar agar kita dapat hidup dengan selesa dan selamat.