Saturday 11 June 2011

Pencemaran Suatu Definisi ...

Perkataan pencemaran memberikan pelbagai maksud dan definisi mengikut  tafsiran ahli geografi. Kita boleh menerima pakai apa jua maksud ataupun definisi yang diberikan kerana ia tidak menyalahi dari segi undang-undang mana-mana negara di dunia ini.

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran bermaksud apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, kimia, biologi, dan radioaktif di mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan sehingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan sesuatu keadaan berbahaya atau kebajikan awam atau kepada kehidupan, binatang, tumbuhan atau menyebabkan perlanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah akta ini.
Dengan kata lain, pencemaran adalah sesuatu perkara yang dilakukan melebihi had yang dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan untuk mengatasi dan mengawal perkara tersebut. Sila buat rujukan dari sumber-sumber lain untuk mendapatkan maksud bagi pencemaran. Diharapkan maklumat ini dapat membantu anda semua dalam memahami konsep pencemaran dengan lebih jelas lagi.

Tuesday 7 June 2011

Udara : Kepentingannya kepada manusia dan juga alam ...

Udara adalah satu keperluan hidup. Udara yang bersih menjamin suasana kehidupan yang lebih selesa. Kita mampu hidup selama beberapa minggu tanpa makanan. Kita juga mampu hidup tanpa air selama beberapa hari tetapi kita akan mati dalam tempoh 4 minit tanpa udara. Dalam dunia yang semakin moden dan tercemar ini, kita bukan sahaja memerlukan udara tetapi udara yang bersih untuk terus hidup. Secara umumnya, kualiti udara boleh dikategorikan kepada 2 iaitu udara bersih dan udara tercemar. 

Udara bersih wujud secara semulajadi. Udara bersih adalah sangat penting ke arah kualiti hidup yang lebih baik untuk manusia, haiwan dan juga tumbuhan. Udara tercemar pula adalah campuran udara bersih dengan bahan bergas ataupun partikel yang dibebaskan ke atmosfera oleh pelbagai aktiviti. 

Pelepasan dari kenderaan bermotor, perindustrian, pembakaran terbuka bahan buangan dan lain-lain aktiviti manusia menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tahap pencemaran udara yang umum terutama di kawasan bandar akan menjejaskan kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, bangunan dan sebagainya. Kemerosotan kualiti udara ini berpunca dari bahan pencemar yang dilepaskan ke udara secara terus ataupun melalui tindakan kimia.

Udara tercemar menyebabkan gangguan kepada kesihatan manusia terutama sekali kepada sistem pernafasan yang akan mengakibatkan gangguan pada paru-paru dan jantung, batuk kering atau lelah dan juga boleh membawa kepada ancaman kanser. 

Penyelesaian kepada isu pencemaran udara telah tersedia untuk diaplikasikan tetapi ia memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat. Dalam erti kata lain, penyelesaian secara teknikal sahaja seperti penggunaan air filter di kilang-kilang atau catalytic converter dalam kereta adalah tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan dalam perancangan seperti mempromosikan pengangkutan awam ke arah pembangunan bandar yang mengamalkan prinsip pengurangan penggunaan kenderaan bermotor. Kita memerlukan perubahan dalam sistem pengangkutan bagi mengelakkan penggunaan kereta yang terlalu kerap. Tahukah anda bahawa kenderaan bermotor menyumbang kepada sekurang-kurangnya 60 - 70% kadar pencemaran udara di bandar-bandar utama.

Masyarakat hari ini telah mula sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar dan kesedaran ini perlulah dipertingkatkan di setiap peringkat umur khasnya di kalangan generasi baru. Masyarakat perlu sedar mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara kualiti udara. Untuk bacaan dan maklumat lanjut sila lawati link berikut Jabatan Alam Sekitar

Wednesday 1 June 2011

Tanah Runtuh - Mengapa Ia Berlaku ?

Kejadian tanah runtuh yang terawal direkodkan di Malaysia ialah pada 17 Disember 1919 yang dilaporkan di Bukit Tunggal, Ipoh. Kejadian tersebut telah meragut 12 nyawa apabila ketulan blok batu kapur telah menghempap sebuah rumah. Bagaimanapun, tragedi terbesar dalam sejarah Malaysia dari segi jumlah kehilangan nyawa adalah pada 11 Disember 1993 di Hulu Kelang, Selangor apabila Kondominium Highlands Tower tumbang akibat berlakunya tanah runtuh bersebelahan dengan kondominium tersebut. Kejadian tersebut telah meragut nyawa 48 orang. Tahun 2011 juga telah mencatatkan peristiwa duka apabila runtuhan tanah telah menghempap dan menimbus Rumah Anak Yatim Al Taqwa di Kajang selangor. Dalam kejadian tersebut seramai 25 orang dilaporkan telah tertimbus hidup-hidup dengan 9 nyawa telah dapat diselamatkan manakala 16 yang lain telah terkorban.

Apakah itu tanah runtuh ? Tanah runtuh merupakan pergerakan tanih, batuan serta bahan yang membentuk sesuatu cerun di bawah pengaruh graviti bumi. Ia merupakan satu proses semulajadi serta akibat daripada aktiviti manusia. Ia berlaku dalam berbagai saiz, jenis dan frekuensi. Terdapat 2 faktor penyebab kepada berlakunya kejadian tanah runtuh. 
Faktor luaran terdiri daripada :
  1. kegiatan penambahan kecerunan cerun atau peninggian cerun yang disebabkan oleh hakisan seperti hakisan tepi sungai dan juga daripada aktiviti manusia yang memotong cerun bukit. 
  2. Ketiadaan sokongan pada cerun seperti hakisan di tepi sungai yang mengurangkan sokongan ataupun kaedah pembinaan yang memotong cerun yang terlalu curam. 
  3. Penambahan beban seperti binaan rumah di atas cerun.
Faktor dalaman pula terdiri daripada  : 
  1. proses luluhawa terutamanya di kawasan tropika seperti Malaysia di mana ia akan melemahkan bahan cerun dan mengurangkan keupayaannya untuk menahan pergerakan akibat tarikan graviti bumi. 
  2. Kehilangan tumbuhan akan mengurangkan kesan pengikatan akar pokok pada tanah dan seterusnya mengurangkan kestabilan cerun. 
  3. Tanah menjadi tepu akibat daripada kehilangan tumbuhan atau penambahan air larian hujan akibat daripada aktiviti pembangunan.
Antara kawasan-kawasan di Malaysia yang berisiko mengalami tanah runtuh adalah di Hulu Kelang, Bukit Lanjan dan Hulu Gombak, Selangor. Manakala di negeri Pahang pula, kawasan-kawasan di Genting Sempah, Bukit Tinggi, Frasers Hill dan Cameron Highlands telah dikenalpasti sebagai kawasan bom jangka ini.

Potensi berlakunya tanah runtuh boleh dikurangkan dengan beberapa kaedah seperti :
  1. mengurangkan sudut cerun dan menggunakan teres bertingkat. 
  2. Tempat air bertakung atau lubang yang boleh menakung air di atas cerun hendaklah dielakkan kerana iar boleh meresap masuk ke dalam jasad cerun dan sekaligus mengurangkan kestabilan cerun. 
  3. Memasang sistem perparitan yang sesuai untuk mengalirkan air daripada tepi cerun. 
  4. Mengurangkan beban di atas cerun dengan memindahkan tanah atau batuan di atas cerun. 
  5. Memasang struktur sokongan seperti soil nail , buttress wall dan sebagainya di kaki cerun yang berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh. 
  6. Melakukan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan dengan memeriksa struktur cerun dari masa ke semasa.

Fikirkanlah. Apakah peranan kita dalam menangani masalah ini ? Setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.