Jerebu berlaku apabila terdapatnya banyak debu , abu , asap , habuk dan bahan pencemar lain yang terapung atau terampai di atmosfera berhampiran dengan Bumi. Jerebu sering berlaku di kawasan bandar dan perindustrian kerana kawasan tersebut mengeluarkan bahan pencemar yang berlebihan seperti gas karbon monoksida dan sulfur dioksida ke atmosfera.
Jerebu berpunca daripada pembakaran jerami padi , pembakaran terbuka , pelepasan asap daripada kenderaan bermotor dan kilang , pembakaran bahan api fosil serta pembakaran hutan. Negara kita telah mengalami keadaan jerebu yang teruk pada tahun 1990 . 1994 dan 1997 akibat daripada pembakaran hutan di negara jiran. Jerebu biasanya berlaku apabila hujan tidak turun dalam jangka waktu yang agak lama.
Jerebu memberikan kesan buruk terhadap manusia seperti :
- mengurangkan jarak penglihatan sehingga kurang daripada 1 km kerana bahan pencemar telah membiaskan pancaran cahaya matahari dan juga memendekkan jarak penglihatan
- menjejaskan kesihatan manusia seperti :
- kesukaran bernafas
- penyakit asma
- sakit mata ( mata terasa pedih dan berair )
- radang paru-paru
- sakit dada
- kulit merengsa dan terasa gatal
Jerebu ditentukan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara ( IPU ) yang merupakan salah satu kaedah untuk kita mengetahui tahap teruknya jerebu. IPU melibatkan proses pengukuran kuantiti zarah atau partikel halus merbahaya seperti karbon monoksida , sulfur dioksida , nitrogen dioksida dan ozon. Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut :
NILAI IPU KUALITI UDARA
0 - 50 Baik
51 - 100 Sederhana
101 - 200 Tidak Sihat
201 - 300 Sangat Tidak Sihat
301 - 400 Berbahaya
401 - 500 Sangat Berbahaya
Lebih 501 Darurat
Cuba kita renungkan sejenak , adakah kita juga bertindak penyumbang kepada keadaan jerebu ini ? Marilah kita bersama-sama memelihara alam sekitar agar kita dapat hidup dengan selesa dan selamat.
No comments:
Post a Comment