Wednesday 1 June 2011

Tanah Runtuh - Mengapa Ia Berlaku ?

Kejadian tanah runtuh yang terawal direkodkan di Malaysia ialah pada 17 Disember 1919 yang dilaporkan di Bukit Tunggal, Ipoh. Kejadian tersebut telah meragut 12 nyawa apabila ketulan blok batu kapur telah menghempap sebuah rumah. Bagaimanapun, tragedi terbesar dalam sejarah Malaysia dari segi jumlah kehilangan nyawa adalah pada 11 Disember 1993 di Hulu Kelang, Selangor apabila Kondominium Highlands Tower tumbang akibat berlakunya tanah runtuh bersebelahan dengan kondominium tersebut. Kejadian tersebut telah meragut nyawa 48 orang. Tahun 2011 juga telah mencatatkan peristiwa duka apabila runtuhan tanah telah menghempap dan menimbus Rumah Anak Yatim Al Taqwa di Kajang selangor. Dalam kejadian tersebut seramai 25 orang dilaporkan telah tertimbus hidup-hidup dengan 9 nyawa telah dapat diselamatkan manakala 16 yang lain telah terkorban.

Apakah itu tanah runtuh ? Tanah runtuh merupakan pergerakan tanih, batuan serta bahan yang membentuk sesuatu cerun di bawah pengaruh graviti bumi. Ia merupakan satu proses semulajadi serta akibat daripada aktiviti manusia. Ia berlaku dalam berbagai saiz, jenis dan frekuensi. Terdapat 2 faktor penyebab kepada berlakunya kejadian tanah runtuh. 
Faktor luaran terdiri daripada :
  1. kegiatan penambahan kecerunan cerun atau peninggian cerun yang disebabkan oleh hakisan seperti hakisan tepi sungai dan juga daripada aktiviti manusia yang memotong cerun bukit. 
  2. Ketiadaan sokongan pada cerun seperti hakisan di tepi sungai yang mengurangkan sokongan ataupun kaedah pembinaan yang memotong cerun yang terlalu curam. 
  3. Penambahan beban seperti binaan rumah di atas cerun.
Faktor dalaman pula terdiri daripada  : 
  1. proses luluhawa terutamanya di kawasan tropika seperti Malaysia di mana ia akan melemahkan bahan cerun dan mengurangkan keupayaannya untuk menahan pergerakan akibat tarikan graviti bumi. 
  2. Kehilangan tumbuhan akan mengurangkan kesan pengikatan akar pokok pada tanah dan seterusnya mengurangkan kestabilan cerun. 
  3. Tanah menjadi tepu akibat daripada kehilangan tumbuhan atau penambahan air larian hujan akibat daripada aktiviti pembangunan.
Antara kawasan-kawasan di Malaysia yang berisiko mengalami tanah runtuh adalah di Hulu Kelang, Bukit Lanjan dan Hulu Gombak, Selangor. Manakala di negeri Pahang pula, kawasan-kawasan di Genting Sempah, Bukit Tinggi, Frasers Hill dan Cameron Highlands telah dikenalpasti sebagai kawasan bom jangka ini.

Potensi berlakunya tanah runtuh boleh dikurangkan dengan beberapa kaedah seperti :
  1. mengurangkan sudut cerun dan menggunakan teres bertingkat. 
  2. Tempat air bertakung atau lubang yang boleh menakung air di atas cerun hendaklah dielakkan kerana iar boleh meresap masuk ke dalam jasad cerun dan sekaligus mengurangkan kestabilan cerun. 
  3. Memasang sistem perparitan yang sesuai untuk mengalirkan air daripada tepi cerun. 
  4. Mengurangkan beban di atas cerun dengan memindahkan tanah atau batuan di atas cerun. 
  5. Memasang struktur sokongan seperti soil nail , buttress wall dan sebagainya di kaki cerun yang berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh. 
  6. Melakukan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan dengan memeriksa struktur cerun dari masa ke semasa.

Fikirkanlah. Apakah peranan kita dalam menangani masalah ini ? Setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment